Seramai 4,000 murid di seluruh negara mula nikmati sarapan percuma pada 20 Januari 2020.
AGENDANASIONAL

Program Sarapan Percuma dilaksana secara berperingkat

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Program Sarapan Percuma (PSP) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun depan di sekolah yang mempunyai bilangan murid daripada keluarga berpendapatan rendah B40 teramai.

Mengikut portal FMT, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik memberitahu, keputusan itu dibuat selepas pelaksana PSP belum bersedia sepenuhnya bagi menyediakan program tersebut.

“Kementerian Pendidikan telah melakukan beberapa sesi libat urus tetapi projek perintis yang dilakukan mendapati ketidaksediaan beberapa pihak pelaksana membabitkan pihak sekolah, kantin, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

“Oleh itu, Majlis Tindakan Ekonomi mencadangkan PSP dilaksanakan secara bertahap iaitu Fasa 1 dilaksanakan di semua sekolah yang bilangan murid B40 ramai,” katanya pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2020 kementeriannya di Dewan Rakyat petang semalam

Sementara itu, Maszlee berkata, PSP ialah projek berskala besar yang bukan sekadar menyediakan makanan, sebaliknya turut membabitkan pendidikan mengurus sisa makanan dalam kalangan murid.

“Persediaan pihak kantin, sekolah dan PIBG amat diperlukan kerana kita tidak mahu ada pembaziran.

“Bukan saja makan, tetapi cara uruskan makanan, kita hendak latih juga murid-murid cara urus sisa makanan,” katanya.

Pada 9 Oktober lalu, Maszlee mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM800 juta hingga RM1.6 bilion untuk PSP bagi 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara mulai tahun depan.


Pengarang :