Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menanam pokok pada Majlis Perasmian Karnival Alam Sekitar dan Kepenggunaan di Dataran Setia Tasik Biru Kundang di Kuang pada 16 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sikap buruk sampai tergamak buang almari dalam sungai

RAWANG, 16 NOV: Sikap buruk sesetengah masyarakat dapat dilihat dengan penemuan pelbagai jenis sampah termasuk almari di dalam Sungai Klang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sampah-sarap itu ditemui oleh organisasi bukan kerajaan, Clean Ocean yang menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Klang menggunakan mesin Iterceptor.

“Ketika membersih Sungai Klang, Iterceptor menyedut sampah terampai atau sampah dalam sungai. Pencipta mesin penyedut sampah itu beritahu ada orang buang patung beruang besar ke sungai, mungkin selepas dia tidak dapat pujuk teman wanitanya.

“Tidak cukup dengan itu, ada topi keledar, ada pakaian, almari dan bermacam lagi ditemui dalam Sungai Klang. Sukar dibayangkan macam mana orang boleh buang almari ke dalam sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Alam Sekitar dan Kepenggunaan 2019 di Dataran Setia Tasik Biru, Kundang, di sini, hari ini.

Amirudin percaya, sikap membuang sampah di merata-rata termasuk ke dalam sungai disebabkan sudah terbiasa dengan gaya hidup tidak mementingkan kebersihan.

Katanya, akibat perbuatan itu, sungai tidak boleh digunakan sebagai sumber bekalan air kerana sudah tercemar.

“Malahan sekarang ada istilah mikro plastik iaitu plastik yang belum habis terhurai, dimakan ikan dan kemudian kita pula makan ikan itu,” katanya.

Amirudin berkata, masyarakat awam perlu sedar keperluan menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, bukannya hanya menyerahkan kepada Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan atau Exco Alam Sekitar sahaja.


Pengarang :