Pasukan bola Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik muncul juara Perlawanan akhir bola sepak piala DYTM Raja Muda Selangor di Padang SUK, Shah Alam. 14 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

SK Bandar Anggerik julang Piala DYTM Raja Muda Selangor 2019

SHAH ALAM, 14 NOV: Hatrik daripada pemain penyerang, Muhammad Danial Zharfan Zainal membantu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Anggerik menang besar 5-0 sekali gus muncul juara Piala Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Edisi Ke-32 2019.

Menentang Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(2) pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang SUK Selangor, seorang lagi penyerang, Muhamad Adib Fahmi Muhamed Fairus turut membantu kemenangan pasukan dengan menyumbang dua gol di setiap babak.

Muhamad Adib Fahmi memecah kebuntuan jaringan selepas menggegar gawang lawan dengan gol tunggal babak pertama pada minit ke-22 bagi kedudukan 1-0 memihak SK Bandar Anggerik.

Bersambung babak kedua, Muhammad Danial Zharfan menggandakan jaringan kedua buat SK Bandar Anggerik pada minit ke-33 dan disusuli gol kedua peribadi 11 minit kemudian bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Sentuhan berbisa Muhammad Danial Zharfan berterusan pada minit ke-53 apabila melengkapkan hatrik bagi memastikan pasukannya selesa mendahului 4-0.

Skuad bimbingan Hazlan Atan melengkapkan hari gemilang mereka dengan jaringan kelima pada penghujung permainan menerusi Muhamad Adib Fahmi dan kedudukan 5-0 kekal sehinggat tamat perlawanan.

Kejayaan itu menyaksikan SK Bandar Anggerik membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, piala serta pingat manakala SK Seksyen 27(2) menerima hadiah RM3,000 selaku naib juara.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat untuk menyaksikan perlawanan akhir ini dan menyampaikan hadiah sambil diiringi EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman dan Orang Besar Daerah Petaling merangkap Pengerusi Kejohanan, Dato’ Emran Kadir.

Perangsang Selangor muncul sebagai penaja utama kejohanan buat kali ketujuh berturut-turut dengan dana berjumlah RM671,310 di bawah program Sukan Untuk Semua dalam usaha membangunkan bakat atlet remaja dalam sukan bola sepak di samping menggalakkan budaya bersukan dalam kalangan pelajar sekolah

Emran berkata, sjak tahun 2015, seramai 14 orang pemain remaja bawah 12 tahun telah dikenal pasti dan diserap ke pasukan bawah 12 tahun dan 15 tahun negara menerusi kejohanan ini.

Sementara bagi penentuan tempat ketiga dan keempat memihak SK Sri Kelana apabila menewaskan SK Lembah Subang 4-3.

SK Sri Kelana membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 manaka RM1,000 untuk SK Lembah Subang.


Pengarang :