AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

SSDU tekad realisasikan Negeri Pintar

SHAH ALAM, 5 NOV: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) terus komited dalam memastikan perancangan Smart Selangor direalisasi selaras hasrat Kerajaan Negeri.

Pengarah Urusannya, Dr Fahmi Ngah berkata usaha itu disokong melalui peruntukan RM50 juta dalam
Belanjawan #Selangor2020 yang dibentangkan pada 1 November lalu.

“Sebanyak 13 inisiatif melalui program Smart Selangor akan diperkenal tahun hadapan bagi memastikan negeri ini lebih produktif dan berdaya huni.

“Dato’ Menteri Besar juga berhasrat untuk membawa beberapa penciptaan terkini di bawah SSDU ke beberapa bandar ASEAN lain pada tahun hadapan,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam pembentangan belanjawan lalu, sejumlah RM50 juta diperuntuk bagi merealisasikan hasrat Negeri Pintar dengan sasaran kemajuan projek 46 peratus menjelang akhir tahun 2020.

Pada masa sama, Dr Fahmi berkata belanjawan negeri membuktikan tekad Kerajaan Selangor untuk mengurangkan defisit tahunan dan terus menumpukan perbelanjaan pembangunan rakyat.

“Program pembangunan ekonomi seperti Smart Selangor dan beberapa inisiatif berkaitan dalam pelancongan serta pertanian juga tidak dipinggirkan.

“Di samping itu, agenda utama di bawah Inisiatif Peduli Rakyat juga masih diteruskan untuk keperluan berpendapatan rendah (B40),” katanya.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang diberi mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan Selangor negeri serantau menjelang 2025.

Sejumlah 60 inisiatif dibangunkan di bawah 12 domain Smart Selangor, antaranya Tadbir Urus Pintar, Pengurusan Sisa Pintar, Pengurusan Lalu Lintas Pintar, Insfrastruktur Digital Pintar dan Pendidikan Pintar.


Pengarang :