AGENSISELANGOR

UNISEL platform terbaik lanjut pengajian

SHAH ALAM, 6 NOV: Universiti Selangor (UNISEL) menjadi landasan terbaik bagi pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato Dr Mohammad Redzuan Othman berkata transformasi dan kebolehan dimiliki universiti Kerajaan Negeri itu diyakini mampu membentuk kecemerlangan pelajar.

Katanya selain menawarkan yuran berpatutan, UNISEL turut memiliki fasiliti lengkap di kedua-dua kampusnya.

“Daripada segi kualiti pula, UNISEL adalah universiti pertama di Malaysia menerima dua pensijilan serentak daripada SIRIM iaitu Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 dan Educational Organization Management System (EOMS) ISO21001:2018,” katanya ketika berucap sempena Minggu Tekad Siswa Budiman, semalam.

Minggu Tekad Siswa Budiman yang diadakan selama empat hari sejak 2 November lalu adalah minggu suai kenal pelajar baharu yang dikelolai sepenuhnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar UNISEL.

Simbolik perasmian majlis itu diakhiri dengan nyalaan pelita sempena sambutan Deepavali yang diraikan seluruh rakyat Malaysia, baru-baru ini.

Pengambilan pelajar baharu bagi sesi November 2019 akan dilanjutkan sehingga 22 November ini dengan hadir ke Pejabat Pemasaran dan Kemasukan UNISEL di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya.

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Pemasaran dan Kamasukan di talian 03-55223400 / 012-3401740 / 014-8172198.


Pengarang :