AGENDANASIONAL

WKB2030 tumpu ekonomi, wujud kerja pendapatan tinggi

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kerajaan yakin tumpuan kepada ekonomi bernilai tinggi dan pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi akan menyumbang kepada usaha merapatkan jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030), kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, ketika ini masih wujud jurang ekonomi yang ketara di setiap peringkat kumpulan pendapatan, wilayah, etnik dan rantaian bekalan dan agenda nasional yang memandu hala tuju negara itu dilihat mampu menyediakan taraf hidup wajar kepada semua rakyat pada masa hadapan.

“Jurang pendapatan yang ketara di antara kelas pendapatan berlaku berikutan pendapatan kumpulan isi rumah B40 lebih bergantung kepada penggajian dan kumpulan ini juga kurang memiliki aset yang boleh menjana pendapatan lain,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PAKATAN-Tampin) yang ingin tahu langkah kementerian dalam memastikan rakyat dapat mengecapi kemakmuran bersama seiring dengan dasar yang telah diperkatakan serta bagaimana kemakmuran bersama dapat diterjemahkan dalam kehidupan bernegara kepada semua bangsa.

Mohd Radzi berkata, dalam Teras Strategik Kelima WKB 2030 iaitu Kesejahteraan Sosial, ia memberi penekanan kepada kebajikan semua kelompok masyarakat terutama golongan rentan ekonomi dan kumpulan isi rumah B40.

Justeru katanya, penekanan akan diberikan kepada peningkatan produktiviti sebagai satu daripada pemacu pertumbuhan ekonomi selain memperkukuh sektor pertumbuhan ekonomi sedia ada.

Sementara itu, mengulas mengenai jurang pembangunan pembangunan antara wilayah khususnya kawasan bandar dan luar bandar, Mohd Radzi berkata tumpuan kepada Pertanian Pintar akan diberikan untuk meningkatkan produktiviti hasil tanaman terutamanya usahawan tani luar bandar.

Selain itu, penekanan kepada Komoditi Malaysia 2.0 membolehkan penghasilan lebih banyak produk hiliran seperti sawit dan getah yang mampu menjana nilai tambah dan pulangan lebih tinggi.

“Dalam Teras Strategik Keenam iaitu Keterangkuman Wilayah, pemetaan titik tumpuan ekonomi akan dilaksanakan untuk mengenal pasti kawasan luar bandar yang berpotensi sebagai pusat aktiviti ekonomi yang mampan.

“Justeru, Malaysia akan memanfaatkan peluang daripada perkembangan peralihan ekonomi dunia dari Eropah ke Asia dengan menjadikan negara sebagai Hab Ekonomi ASEAN,” katanya.

WKB 2030 yang dilancarkan pada 5 Oktober lalu oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah wawasan yang memandu hala tuju negara secara holistik mulai 2021 hingga 2030 serta mahu menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyatnya menjelang 2030.

– BERNAMA


Pengarang :