Leong Tuck Chee melawat tapak pameran sempena Program Kesedaran Haiwan Kesayangan, Kucing Angkat Dan Perlesenan Anjing di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 28 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Hanya 1,400 pemilik ada lesen pelihara anjing

KLANG, 28 DIS: Hanya 1,400 pemilik anjing di sini direkodkan memiliki lesen memelihara haiwan berkenan sepanjang tahun ini, kata Ahli Dewan Negeri Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee.

Katanya, jumlah berkenaan adalah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan 5,000 anjing yang kini dipercayai sedang dipelihara oleh penduduk Klang.

“Pemilik anjing tidak perlu bimbang kerana bayaran lesen hanyalah RM10 sahaja, namun majoriti mereka gagal mendapatkan lesen kerana tidak mahu memenuhi syarat supaya anjing disuntik vaksin terlebih dahulu.

“Tetapi orang awam perlu tahu bahawa suntikan ini adalah untuk kebaikan haiwan kesayangan mereka, pada masa sama ia melindungi anjing daripada sakit dan mendatangkan bahaya pada orang lain.

“Justeru, saya berharap supaya jumlah lesen pelihara anjing akan meningkat pada 2020,” katanya kepada SelangorKini.

Leong Tuck Chee melawat tapak pameran Program Kesedaran Haiwan Kesayangan, Kucing Angkat Dan Perlesenan Anjing di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, Klang pada 28 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesedaran Haiwan Kesayangan Kucing Angkat dan Lesen Anjing anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK), di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmie Muji.

Mengulas lanjut mengenai program itu, Tony berkata, program berkenaan memberi kemudahan kepada pemilik anjing peliharaan mendapatkan lesen bagi tahun 2020 yang akan berakhir pada 31 Disember ini.

“Pelesenan anjing peliharaan ini adalah tertakluk kepada Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah.

“Selain itu, program sebegini dapat meningkatkan pendidikan dan kefahaman dalam kalangan orang ramai berkenaan penjagaan haiwan, khususnya anjing dan kucing.

“Usaha ink turut memastikan supaya persekitaran sihat dan selamat untuk didiami orang awam daripada pelbagai kacau ganggu yang timbul daripada haiwan,” katanya.


Pengarang :