Dato’ Mansor Othman dan Nur Syaheeda Zakariya bergambar di hadapan Touch Media Enterprise ketika Kembara Sukses HIJRAH Selangor pada 19 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

HIJRAH: 85 peratus bayar balik pinjaman

PETALING JAYA, 19 DIS: Sebanyak 85 peratus bayaran balik berjaya dilunas usahawan di bawah Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH), kata Pengerusi Eksekutifnya, Dato’ Mansor Othman.

Beliau berkata rekod positif setiap tahun itu membuktikan usahawan komited mengekalkan prestasi mereka terutama ketika membuat bayaran balik.

“Peminjam semua bagus dan kebanyakan membayar balik mengikut masa ditetapkan. Kita berharap usahawan ini akan terus menunjukkan prestasi membanggakan HIJRAH dan Kerajaan Negeri khasnya,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang ditemui pada program Kembara Sukses HIJRAH Selangor 2019 di sini hari ini berkata kebanyakan usahawan berpotensi besar untuk dilantik sebagai Syarikat Peneraju HIJRAH (Anchor Company).

“Melalui syarikat itu, mereka ditugaskan untuk membimbing usahawan baharu seperti ibu tunggal, asnaf, belia dan siswa yang berminat memulakan perniagaan melalui Skim Khas Zero to Hero.

“Malah, mereka akan ditugaskan untuk membimbing usahawan lain dan HIJRAH akan memberi pinjaman kepada golongan terbabit memulakan perniagaan,” katanya.

Kembara itu melabuhkan tirainya hari ini yang menyaksikan 13 orang dari 22 cawangan HIJRAH seluruh negeri berjaya dipilih sebagai peserta ‘Success Story Hijrah 2019’.

Program itu merupakan usaha yayasan untuk mendokumentasikan pencapaian usahawan HIJRAH dalam bentuk penulisan dan video yang menampilkan prestasi cemerlang peserta.


Pengarang :