Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Hizwan Ahmad bergambar bersama penduduk pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tong Sampah Bergerak oleh KDEBWM di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sering, Ampang pada 21 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

KDEBWM sumbang 500 tong sampah kepada persatuan penduduk

AMPANG, 21 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini menyerahkan 500 buah tong sampah bergerak (Mobile Garbage Bin-MGB) kepada lima persatuan penduduk di daerah ini bagi memudahkan orang ramai membuang sampah domestik secara lebih teratur.

Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, lima persatuan penduduk yang menerima tong sampah tersebut ialah Persatuan Penduduk Sungai Sering, Kampung Bukit Sungai Seputeh, Kampung Ampang Indah, Taman Rasmi Jaya dan Kampung Dato Mufti.

“Sumbangan tong bergerak ini adalah bagi memudahkan penduduk di kawasan terbabit membuang sampah domestik secara teratur.

“Tong-tong sampah domestik yang sedia ada telah rosak dan tidak mencukupi sekali gus tidak dapat menampung sampah-sampah seharian di kawasan itu,” katanya.

Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tong Sampah Bergerak di Dewan Orang Ramai Sungai Sering, di sini.

Tong-tong sampah berkenaan disampaikan kepada Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Hizwan Ahmad.

Ahmad Rizal berkata, KDEBWM selaku syarikat yang mengendalikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, pihaknya amat mengambil berat mengenai permasalahan dihadapi oleh pihak penduduk.

“Ini terutamanya ketika proses pembuangan dan kutipan sampah di kawasan ini.

“Setakat ini, kita tidak menerima aduan serius tentang sampah yang tidak dikutip,” katanya.


Pengarang :