Mohamad Hilman Idham bersama perwakilan menunjukkan gambar insiden kekecohan yang dirakamkan wakil media ketika Kongres Nasional AMK 2019 berlangsung Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lapan individu dicari kes Kongres Nasional AMK kecoh

MELAKA, 7 DIS: Polis hari ini mengedar gambar lapan individu bagi meminta mereka tampil membantu siasatan kes kekecohan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di sini, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, individu itu diminta tampil segera di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di Bandar Hilir di sini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan menggunakan senjata.

“Saya berharap semua yang terlibat dalam rusuhan semalam tampil membantu siasatan polis. Saya juga ingin menasihatkan kepada semua peserta persidangan ini supaya lebih berdisiplin dan profesional dalam menghadiri persidangan itu,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, kongres yang dihadiri lebih 1,000 anggota perwakilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka itu dicemari insiden kekecohan sehingga menganggu perjalanan kongres sayap itu, mencetuskan pergaduhan antara penyokong mengakibatkan dua individu cedera.

Mat Kasim berkata, siasatan lanjut terhadap dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu semalam mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan kedua-dua mereka direman dua hari bagi siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal kes itu mendapati terdapat dua kumpulan dalam AMK yang terlibat dalam insiden itu iaitu berbaju biru dan hitam, yang mana kedua-dua kumpulan itu adalah daripada parti yang sama.

“Kejadian pertama berlaku semalam pada jam 8.25 pagi, kejadian seterusnya berlaku pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :