EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Loy Sian dilantik Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal Selangor

SHAH ALAM, 16 DIS: EXCO Kerajaan Negeri, Hee Loy Sian dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal Selangor bagi memberikan fokus kepada pembangunan Orang Asal bermula 2020.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pelantikan itu dibuat selepas mendapat persetujuan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu.

“Jawatankuasa itu memang sudah kita tubuhkan sesuai dengan harapan Sultan Selangor supaya kita dapat memberi peruntukan dan perhatian kepada masyarakat Orang Asal Negeri Selangor.

“Sebelum ini hanya ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Elizabeth Wong kerana kita tidak mempunyai jawatankuasa tetap. Dengan adanya jawatankuasa tetap ini banyak perkara kita boleh tumpu termasuk kebajikan dan program-program pembangunan masyarakat Orang Asal,” katanya.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang ketika ini merupakan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna.

Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 16 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin dalam ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor berkata, penubuhan jawatankuasa itu sebagai menjunjung kasih titah Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika Program Perjumpaan Dengan Masyarakat Orang Asli di Pulau Carey pada 3 November lalu.

“Saya juga ingin menggesa untuk kita memulakan usaha membawa budaya dan warisan Orang Asal seperti Mah Meri misalnya untuk mendapatkan pengiktirafan daripada UNESCO dan juga didaftarkan sebagai milik eksklusif yang mempunyai hakcipta tersendiri yang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak terutama sekali oleh syarikat-syarikat fesyen antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM500,000 bagi tujuan pembangunan modal insan dan kebajikan seperti membaik pulih rumah, projek pembangunan infrastruktur, peningkatan kesihatan dan ekonomi Orang Asal pada tahun 2020.


Pengarang :