AGENDA NASIONAL

‘Parasite’ disenarai pendek bagi anugerah filem terbaik antarabangsa

SEOUL, 17 DIS: Filem komedi gelap `Parasite’ arahan Bong Joon-ho telah disenarai pendek bagi filem cetera terbaik antarabangsa di Anugerah Akademi akan datang, lapor agensi berita Yonhap memetik media Amerika Syarikat (AS) pada Selasa lalu, yang memberikan harapan bahawa ia mungkin filem Korea Selatan pertama memenangi Oscar.

Menurut wartawan Hollywood dan media berita hiburan lain, Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) telah mengeluarkan senarai 10 calon bagi kategori itu, yang sebelum ini dikenali sebagai filem terbaik berbahasa asing, daripada 91 filem.

Sembilan filem lain ialah `The Painted Bird’ arahan Vaclav Marhoul dari Republik Czech, `Truth and Justice’ arahan Tanel Toom dari Estonia, `Les Miserables’ arahan Ladj Ly dari Perancis, `Those Who Remained’ arahan Barnabas Toth dari Hungary, `Honeyland’ arahan bersama Tamara Kotevska dan Ljubomir Stefanov dari Macedonia Utara, `Corpus Christi’ arahan Jan Komasa dari Poland, `Beanpole’ arahan Kantemir Balagov dari Rusia, `Atlantics’ arahan Mati Diop dari Senegal dan `Pain and Glory’ arahan Pedro Almodovar dari Sepanyol.

Bagi kategori filem bukan berbahasa Inggeris, sesebuah negara mengemukakan satu filem sebagai wakil rasmi mereka, dan filem itu bersaing bagi lima pencalonan.

`Parasite’ telah dipilih sebagai entri Korea Selatan bagi kategori filem cetera terbaik antarabangsa pada Ogos lalu.

Lima calon akhir akan diumumkan pada 13 Januari bersama pencalonan penuh untuk kategori lain, dan majlis itu dijadualkan berlangsung pada 9 Februari di Dolby Theatre di Los Angeles.

Filem `Roma’ arahan Alfonso Cuaron dari Mexico, merangkul anugerah itu pada tahun ini.

Ini adalah kali kedua sebuah filem keluaran Korea Selatan memasuki senarai pendek 10 filem, menyusuli `Burning’ arahan Lee Chang-dong tahun lepas.

Bagaimanapun, filem genre drama misteri Lee itu gagal mara ke final di anugerah Oscar ke-91.

Bagi Anugerah Akademi ke-92, `Parasite’ dilihat sebagai pencabar terkuat bagi kategori filem cetera terbaik antarabangsa berdasarkan pelbagai trofi yang diraihnya sejak Mei, apabila ia memenangi hadiah tertinggi Cannes iaitu Palme d’Or.

Ia menggondol tiga trofi termasuk filem terbaik daripada Persatuan Pengkritik Filem L.A, dan membawa pulang anugerah untuk filem terbaik, pengarah terbaik dan filem asing terbaik di Anugerah Persatuan Pengkritik Filem Toronto tahun ini.

Ia turut memenangi anugerah filem berbahasa asing terbaik dari National Board of Review.

Persatuan Pengkritik Filem Chicago telah memberikan empat anugerah kepada `Parasite’ termasuk filem terbaik dan pengarah terbaik.

Ia telah dicalonkan dalam tiga kategori termasuk pengarah terbaik untuk Anugerah Golden Globe yang dijadualkan berlangsung pada 5 Januari.

Bagi Anugerah Akademi, ia telah dicalonkan untuk kategori filem terbaik, pengarah terbaik dan skrip filem terbaik bersama-sama filem arahan Quentin Tarantino iaitu `Once Upon a Time in Hollywood,’ filem `Joker’ arahan Todd Phillips dan `The Irishman’ arahan Martin Scorsese.

Filem itu adalah satira keluarga yang berkisar tentang sistem kelas sosial yang telah berakar umbi menerusi kehidupan dua keluarga, satu kaya manakala satu lagi miskin, dengan acuan humor dan suspen Bong.

– BERNAMA


Pengarang :