AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini, disokong oleh sentimen belian yang baik susulan perkembangan positif dalam fasa pertama perjanjian perdagangan US-China, kata peniaga.

Jurucakap Kementerian Luar China pada Rabu berkata perunding ‘kini berkomunikasi rapat’ untuk menandatangani perjanjian perdagangan, selari pengumuman Presiden Donald Trump bahawa akan ada majlis penandatanganan bersama Presiden China Xi Jinping,

Pada jam 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.1300 / 1350 berbanding dolar US dari 4.1310/1350 pada Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes berkata ringgit terus didagangkan tinggi susulan perdamaian perdagangan yang membantu meningkatkan sentimen risiko dalam negara.

Ringgit juga mengambil petunjuk daripada yuan China yang lebih kukuh, barometer risiko serantau utama dan harga minyak mentah yang lebih teguh, katanya kepada Bernama.

Hong Leong Bank Bhd dalam satu nota berkata ringgit ditutup 0.06 peratus lebih kukuh berbanding dolar US pada Khamis, hasil manfaat sentimen positif ke atas risiko dalam pasaran.

“Kami mengekalkan unjuran kedudukan dolar dan ringgit pada 4.1300-4.1500 dalam dagangan lengang menjelang akhir tahun,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0498/0539 daripada 3.0489/0530 pada Khamis dan susut berbanding euro kepada 4.5839/5911 daripada 4.5813/5874.

Ringgit juga menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.7713/7769 daripada 3.7705/7752 dan lemah berbanding pound British kepada 5.3665/3734 daripada 5.3625/3693 semalam.

-BERNAMA


Pengarang :