AGENDANASIONAL

51 anak petugas LPP terima bantuan persekolahan

SUBANG JAYA, 27 DIS: Seramai 51 anak petugas Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menerima sumbangan bantuan persekolahan berupa baucar pembelian tunai untuk pembelian pakaian dan peralatan sekolah.

Pengerusi LPP Datuk Mazlan Aliman berkata bantuan persekolahan yang julung kali dilaksanakan pada tahun ini, memilih 29 petugas Gred 19 ke bawah dengan maksimum dua anak bagi setiap keluarga sebagai penerima sumbangan sepersalinan pakaian sekolah dan alat tulis bernilai RM150.

“Nilainya mungkin kecil untuk sesetengah keluarga tetapi amat besar maknanya kepada penerima bantuan,“ katanya dan menambah ia dibuat dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Mazlan berkata program itu turut dilaksanakan serentak di sembilan lokasi berbeza termasuk memberi bantuan persekolahan dan sokongan kepada anak-anak asnaf ahli Pertubuhan Peladang.

Sementara itu, bagi Hamzah Ramli, 49, yang telah 24 tahun berkhidmat dengan LPP melahirkan rasa terharu akan keprihatinan majikannya terhadap kebajikan pekerja bawahan sepertinya. Dua anaknya, Hannani Hamzah, 13, dan Hannina, 10, antara pelajar yang menerima bantuan baucar berkenaan.

“Ini kali pertama saya mendapat bantuan kembali ke sekolah dan pertama kali juga LPP memberi sumbangan sebegini kepada petugas.

“Saya dan rakan-rakan mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan yang menghargai kami dengan cara ini,” katanya yang setiap tahun menyimpan dan memperuntukkan hampir RM1,000 untuk kelengkapan persekolahan anak-anaknya.

Hannani anak kedua daripada tiga beradik berkata sumbangan itu membantu meringankan beban ayahnya (Hamzah) menyediakan kelengkapan persekolahan mereka.

“Hari ini saya cuma beli sepasang pakaian sahaja memandangkan baju tahun lepas masih elok. Adik pula dapat beli dua pasang baju sekolah, kasut dan beg,” katanya.

Dua beradik itu merupakan antara 51 pelajar sekolah rendah dan menengah yang menerima sumbangan bantuan persekolahan tersebut.

Seorang lagi penerima, Khuzaimah Assa’ari, 35, bersyukur dengan sumbangan tersebut.

“Sumbangan ini melengkapkan lagi persiapan sekolah anak-anak. Selalunya saya hanya beli sepasang baju sekolah kebangsaan dan sepasang baju sekolah agama untuk anak-anak, tahun ini dapatlah mereka dua pasang seorang,” katanya yang 11 tahun berkhidmat dengan LPP.

-BERNAMA


Pengarang :