Gimik perasmian oleh Haniza Talha sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku & Smart Sewa Pangsapuri Seri Utama, Taman Puchong Utama, Puchong pada 1 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sasaran 30,000 unit Rumah SelangorKu pada fasa berikutnya

PUCHONG, 1 DIS: Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 30,000 unit Rumah SelangorKu bagi fasa seterusnya dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini hingga 2023.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, peranan dimainkan Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan mampu milik menerusi Rumah SelangorKu secara aktif mulai 2014 mendapat sambutan menggalakkan.

“Sehingga 15 November lalu, 277 projek pembangunan Rumah Mampu Milik membabitkan 121,695 unit kediaman diberikan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Daripada jumlah itu, 14,781 unit siap dibina dan diserahkan kunci manakala 22,274 unit kini dalam pembinaan yang dijangka boleh diduduki secara berperingkat bermula pada akhir tahun ini sehingga 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu dan Surat Tawaran Kepada Penyewa Skim Smart Sewa di Pangsapuri Seri Utama di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham; Pengarah Eksekutif Tetuan Hillcrest Sdn Bhd, Frank Goon dan Pemangku Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Khairul Azam Saroni.

Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku & Smart Sewa Pangsapuri Seri Utama, Puchong oleh Haniza Talha pada 1 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, penyerahan kunci kepada pembeli membabitkan 1,162 unit Rumah SelangorKu yang berjaya disiapkan sepenuhnya pada Ogos lalu oleh pemaju Hillcrest Gardens Sdn Bhd.

Mengambil tempoh selama lima tahun untuk disiapkan, Rumah SelangorKu itu dipilih sebagai pembangunan Rumah Mampu Milik pertama di negara ini yang dilengkapi dengan panel solar selepas mencapai Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Mengulas lanjut, Haniza berkata, Kerajaan Negeri menetapkan syarat dan kawalan pembangunan Rumah SelangorKu yang memerlukan pemaju untuk memajukan fasa awalan atau serentak.

Katanya, hal itu bagi memastikan penyediaan jenis rumah kos bebas dan terkawal di Selangor dapat ditawarkan kepada semua golongan rakyat.

“Dalam menyediakan unit berkenaan, kita sentiasa mengawal proses pembinaan iaitu selepas mendapat kelulusan, pemaju perlu melakukan sesuatu dalam tempoh 18 bulan.

“Sekiranya gagal, kelulusan itu akan ditarik balik kerana kita tidak mahu terjadi kes projek terbengkalai. Oleh itu, pemantauan berterusan dilakukan LPHS sehingga unit terbabit siap dibina,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, 196,061 permohonan Rumah Selangorku berdaftar dengan LPHS sehingga 31 Oktober lalu.

“Ini adalah satu pengukur dalam memenuhi keperluan penyediaan Rumah Mampu Milik terutamanya di kawasan perbandaran yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya.


Pengarang :