Gimik perasmian Tapak Senario Ampang dan Santai @Ampang Point di Ampang oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin pada 20 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Senario Ampang, Santai @Ampang Point tarikan baharu pengunjung

AMPANG, 21 DIS: Kompleks beli-belah Ampang Point di Jalan Mamanda 7 di sini, bakal menggamit warga kota, khususnya penduduk di sekitar Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) apabila projek ‘Senario Ampang dan Santai @Ampang Point’ disiapkan.

Pengarah Jabatan Undang-Undang MPAJ, Johari Atli berkata, projek dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu bertujuan menambah baik dan mengindahkan lorong belakang di kawasan tersebut selain meningkatkan aspek keselamatan serta kebersihan di situ.

Katanya, pemilihan konsep bagi kedua-dua projek menelan kos RM1 juta itu memaparkan aktiviti sosial yang sinonim di sekitar perbandaran tersebut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin melawat Tapak Senario Ampang dan Santai @Ampang Point di Ampang pada 20 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pengunjung boleh melihat paparan lukisan mural tiga dimensi (3D) di dinding dan lantai kawasan Senario Ampang. Ada yang memaparkan panorama Permatang Kuartza Bukit Tabur dan Empangan Klang Gates, Zoo Negara serta bergambar dengan bintang lagenda bola sepak Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari.

“Kawasan terlibat bagi projek pengindahan ini adalah sepanjang 145 kaki dan membabitkan dinding 14 unit bangunan premis perniagaan setinggi 20 kaki.

“Ia juga meliputi kerja infrastruktur iaitu pembersihan lantai konkrit, penyediaan ‘interlocking paving’ menghubungkankawasan sekitar, pemasangan televisyen litar tertutup dan kerja-kerja pendawaian elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abd Hamid Hussain pada majlis perasmian itu di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan Datuk Noor Ihsan Che Mat dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Mohammad Ridzwan Abidin.

Mengulas lanjut, Johari berkata, projek Santai @ Ampang Point pula adalah salah satu cadangan pihaknya untuk mengadakan Plaza Makanan dan Landskap selaras dengan Pelan Induk Landskap MPAJ 2019-2028.

Selain mewujudkan mercu tanda baharu, katanya, projek berkeluasan kira-kira 7,400 kaki persegi itu mampu memuatkan seramai 300 pengunjung dan menyediakan sehingga 15 kenderaan saji (food truck).

“Kawasan ini dinaik taraf dengan taman poket dan lampu hiasan yang menarik dan mengadaptasi persekitaran hijau dengan mengekalkan pokok-pokok sedia ada.

“Projek ini juga mesra pengguna dan dilengkapi kemudahan infrastruktur seperti laluan untuk Orang Kelainan Upaya serta zon merokok,” katanya.


Pengarang :