Mahasiswa Pengurusan Perniagaan UNISEL bergotong-royong membersihkan kawasan rumah asnaf ketika Program Khidmat Masyarakat dan Ziarah Asnaf Kampung Sentosa Batang Kali, Hulu Selangor pada 21 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

UNISEL-LZS bekerjasama bantu asnaf

HULU SELANGOR, 21 DIS: Universiti Selangor (UNISEL) kampus Shah Alam menerusi Persatuan Pengurusan Perniagaan (BBMC) berkerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu golongan asnaf di negeri ini.

Bantuan itu dilakukan menerusi Program Khidmat Masyarakat dan Ziarah Asnaf anjuran BBMC di Kampung Sentosa Batang Kali di sini, hari ini.

Penasihat Persatuan, Norjiah Muslim berkata, program itu bertujuan membentuk jati diri pelajar supaya lebih berjiwa rakyat selain memperkenalkan UNISEL kepada masyarakat umum.

Wakil Lembaga Zakat Selangor menyerahkan barang keperluan dapur kepada asnaf ketika Program Khidmat Masyarakat dan Ziarah Asnaf di Kampung Sentosa, Batang Kali, Hulu Selangor pada 21 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Penglibatan ini membabitkan penyertaan seramai 50 orang terdiri dalam kalangan pelajar persatuan BBMC, UNISEL.

“Program ini juga untuk memupuk semangat seperti budaya membantu sesama masyarakat dan berganding bahu dengan badan bukan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan asnaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Program Khidmat Masyarakat dan Ziarah Asnaf anjuran BBMC di Kampung Sentosa Batang Kali.

Pada masa sama, beliau berkata, LZS turut membantu seramai 100 orang asnaf yang terpilih di kampung terbabit dengan memberi bantuan barangan dapur.

Katanya, pemilihan asnaf dilakukan oleh pihak LZS bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar layak menerima sumbangan terbabit.

“Alhamdulillah program berjalan lancar walaupun baru julung kali diadakan. Malah, kita bercadang untuk meneruskan program khidmat masyarakat seperti ini pada tahun akan datang,” katanya.

Program Khidmat Masyarakat dan Ziarah Asnaf itu diadakan dua hari satu malam sehingga esok itu membabitkan mahasiswa UNISEL, LZS, golongan asnaf.

Antara aktiviti diadakan sepanjang program itu adalah gotong-royong membersihkan rumah asnaf, rewang, pertukaran keluarga angkat antara pelajar dan asnaf, sukaneka serta ceramah motivasi.


Pengarang :