AGENDANASIONAL

Budak tiga tahun maut jatuh dari tingkat empat kuarters

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kuarters guru di Gombak, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata mangsa berusia tiga dan enam tahun yang juga adik beradik ditemui ibunya yang baru pulang bekerja di kawasan lapang kuarters 5.30 petang.

“Ibu mangsa dengan dibantu jiran membawa dua anak perempuannya ke Hospital Selayang dan pada 6.02 petang, doktor mengesahkan anaknya berusia tiga tahun meninggal dunia.

“Seorang lagi mangsa pula patah tangan serta kaki,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, ketika kejadian bapa mangsa keluar dan meninggalkan dua beradik di dalam rumah.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

-BERNAMA


Pengarang :