AGENSISELANGOR

Empat kawasan terlibat projek kurangkan risiko bencana di Selangor

SHAH ALAM, 21 JAN: Tiga kawasan di Selangor serta sebuah perkampungan di Kemboja dipilih sebagai tapak kajian pelaksanaan projek pelan daya tahan bencana, kata penolong setiausaha unit pengurusan bencana negeri.

Bercakap pada Bengkel Memupuk Keusahawanan Sosial Dalam Pengurusan Risiko Bencana Untuk Membangunkan Komuniti Berdaya Tahan di Hotel Concorde hari ini, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata kawasan itu ialah Kuala Selangor, Shah Alam, Bukit Antarabangsa dan Kampung Speu, Kemboja.

“Projek ini akan menjalankan siasatan terhadap bahaya muncul cepat seperti banjir kilat dan tanah runtuh juga bahaya muncul lambat seperti kenaikan paras air laut serta kemasinan air bawah tanah menggunakan sistem maklumat geografi dan sumber orang ramai,” katanya.

Beliau berkata projek terbabit dijangka membantu Kerajaan Negeri dan wilayah Kampung Speu membangunkan strategi pengurangan risiko bencana untuk manfaat 5.79 juta penduduk Selangor dan 700,000 di Kemboja.

Pelan daya tahan itu dijalankan Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara di Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Geologi Malaysia, Pertubuhan Perkhidmatan Pengurangan Risiko Bencana Malaysia dan Royal University of Phnom Penh di Kemboja selama tiga tahun.

 


Pengarang :