Gunung berapi Taal meletuskan abu seperti mana dilihat dari Tanauan, Batangas, selatan Manila, pada 13 Januari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Gunung berapi meletus, penerbangan di Manila ditangguh

MANILA, 13 JAN: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) pada Ahad malam menangguhkan sementara penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) juga dikenali Lapangan Terbang Manila, susulan masalah abu yang menutupi landasan disebabkan letusan Gunung Berapi Taal di Pulau Luzon.

Menurut Agensi Berita Filipina (PNA), jurucakap CAAP Eric Apolonio berkata penangguhan sementara itu bermula jam 6.22 pagi hingga 11 ​​malam (perlepasan) dan dari jam 7 pagi hingga ke 11 malam (ketibaan).

Pihak berkuasa sedang membincangkan kemungkinan untuk menukar laluan semua penerbangan NAIA yang tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Clark di Pampanga.

Penumpang syarikat penerbangan tambang murah Cebu Pacific (CEB) dan AirAsia Philippines dinasihat menghubungi pihak berwajib untuk mengetahui perkembangan terkini dan mengemas kini jadual penerbangan mereka.

Philippine Airlines menukar laluan tiga penerbangan antarabangsa ke Clark dan membatalkan semua penerbangan yang sepatutnya dijadual berlepas dari pukul 7 pagi hingga 11 malam.

Pada 7.30 pagi Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) menaikkan tahap amaran kepada empat, beberapa jam selepas pihak berkuasa mengisytiharkan aktiviti gunung berapi itu di Tahap Dua dan Tahap Tiga pada sebelah petang.

– BERNAMA-NNN-PNA


Pengarang :