Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Penutup Perkampungan Menara Gading Selangor di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 28 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Koronavirus: Kedatangan pelancong ke Selangor dijangka terjejas

SERI KEMBANGAN, 28 JAN: Kedatangan pelancong ke negeri ini dijangka terjejas susulan penularan wabak Koronavirus 2019 baharu, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bagaimanapun Dato’ Menteri Besar percaya jangkitan berkenaan dapat dikawal dengan baik oleh Kerajaan Persekutuan dalam tempoh terdekat.

“Sudah pasti kedatangan pelancong ke negeri ini terjejas bukan hanya di Selangor tetapi seluruh negara. Namun, saya percaya ia dapat ditangani dengan baik kerana masalah ini berpunca dari negara luar bukan tempatan.

“Perlu diingatkan yang penting adalah kawalan dan setakat semalam tiada transmisi antara manusia ke manusia di Malaysia. Kebanyakan dikesan sudah dijangkiti ketika tiba di sini,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Perkampungan Menara Gading Selangor di Universiti Putra Malaysia.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri menghubungi Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kerjasama terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Setakat ini ada 15 hingga 20 kes yang dikuarantinkan, ini jauh lebih kecil jumlahnya, menunjukkan kawalan kita ketat, juga terdapat berbelas hospital dan kita cuba tanganinya dengan baik termasuk menyediakan tenaga kerja secukupnya menangani wabak ini,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin menggesa masyarakat tidak panik dan menyebarkan berita tidak sahih hingga menimbulkan ketakutan kepada rakyat.


Pengarang :