Koronavirus 2019 dikenal pasti mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan betapa mudah ia boleh disebarkan antara manusia. Foto BERNAMA
AGENDA GLOBAL

Koronavirus: Korea Selatan, UK, Perancis tawar bantuan kepada China

BEIJING, 29 JAN: Korea Selatan, United Kingdom (UK) dan Perancis menyuarakan kesediaan mereka untuk menghulurkan bantuan barangan perubatan kepada China bagi memerangi ancaman wabak koronavirus 2019, kata Kementerian Luar China pada Rabu.

Agensi berita Sputnik melaporkan kenyataan itu dibuat selepas perbualan telefon antara Menteri Luar China Wang Yi dengan rakan sejawatannya dari ketiga-tiga negara itu.

“Ketika berdepan dengan detik susah, jiran seharusnya tampil membantu dan tolong menolong antara satu sama lain.

“Korea Selatan sedia untuk bekerjasama dengan China dan menyekat penularan wabak serta bersedia menghantar bantuan barangan perubatan secepat mungkin,” kata Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha dalam kenyataan itu.

Menteri Luar UK, Dominic Raab turut berkata, Britain sedia menghantar bantuan perubatan yang diperlukan ke China.

Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, pula berkata, Paris menghargai usaha China menangani penularan wabak koronavirus.

“Jika China memerlukan apa-apa, Perancis sedia memberikan sebarang bantuan,” katanya.

Virus yang tidak diketahui sebelum ini, kali pertama dikesan di Wuhan pada lewat Disember tetapi kemudian merebak ke bandar raya utama lain.

Sehingga pagi Rabu, lebih 6,000 kes jangkitan di kesan dan 132 kematian dicatatkan di China, lapor Suruhanjaya Kesihatan Negara.

Selain China, sekurang-kurangnya 15 negara sudah mengesan virus itu di negara masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :