AGENSISELANGOR

LZS tambah baik bantuan kelengkapan persekolahan

SHAH ALAM, 3 JAN: Bantuan kelengkapan persekolahan kepada asnaf fakir dan miskin bagi sesi persekolahan 2020 di Selangor telah ditambah baik bagi memastikan kualiti pakaian yang diterima terjamin.

LZS dalam kenyataan hari ini berkata, penerima bantuan diberi kebebasan membuat penebusan baucar di enam pasaraya iaitu Jakel, Sakan, Canggih, Tesco, Econsave dan FR.

“Melalui kaedah ini, penerima diberi kebebasan untuk memilih mana-mana dari enam outlet tersebut yang menyediakan pelbagai jenis dan jenama barangan keperluan persekolahan.

“Dengan kata lain, Zakat Selangor membuka ruang kepada asnaf mendapatkan keperluan mengikut keselesaan dan kepuasan sewaktu menebus barangan persekolahan anak-anak mereka,” ujar kenyataan itu.

Untuk rekod, LZS telah menyantuni 30,000 keluarga fakir dan miskin yang melibatkan sejumlah 66, 956 pelajar di seluruh Selangor yang menerima bantuan keperluan peralatan sekolah bagi sesi 2020.

Selain bantuan kelengkapan peralatan sekolah, bantuan yuran turut disalurkan untuk meringankan bebanan asnaf.

Terdahulu, Zakat Selangor menerima aduan daripada penerima bantuan berhubung dakwaan pakaian sekolah yang diterima jarang dan mahu siasatan ke atas pasaraya terbabit dilakukan.

“Zakat Selangor amat prihatin dengan aduan sebegini dan akan membuat siasatan lanjut.

“Di samping itu, Zakat Selangor amat berharap jika ada aduan boleh diajukan terus melalui medium rasmi iaitu emailkan ke [email protected] bagi membolehkan tindakan lanjut diambil dan mengelakkan salah faham,” katanya.


Pengarang :