Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kanan) melihat skrin Pusat Pemantauan Saringan Suhu Badan bagi mengesan koronavirus 2019 (2019-nCoV) yang berfungsi 24 jam di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia siap siaga hadapi penularan penyakit berjangkit

SEPANG, 27 JAN: Malaysia sentiasa dalam keadaan kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi penularan penyakit berjangkit dan bersedia memberi gerak balas terhadap sebarang kecemasan melibatkan kesihatan awam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pihak berkuasa kesihatan banyak belajar melalui wabak yang berlaku sebelum ini seperti virus Zika dan Nipah termasuk Polio dalam menguruskan situasi itu.

Oleh itu, katanya tidak mengejutkan apabila Malaysia berada pada kedudukan ke-18 dalam Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) 2019 daripada 195 negara yang dinilai berhubung persediaan dalam menghadapi risiko yang memberi kesan besar dan bencana biologi global.

“Kita mahu menjadi lebih baik dan berada pada kedudukan 10 teratas. Kita (Malaysia) mempunyai pengalaman dan sejarah menghadapi jangkitan virus,” kata Dr Dzulkefly kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, hari ini.

Dalam Indeks itu, Malaysia berada di hadapan Singapura yang menduduki tangga ke-24, manakala Indonesia ke-30 dalam senarai itu. Bagaimanapun, Thailand berada di hadapan Malaysia pada kedudukan keenam.

GHS menyenaraikan negara-negara berkenaan dalam tiga kategori – paling bersedia, lebih bersedia dan kurang bersedia. Malaysia ditempatkan dalam kategori kedua manakala 13 negara berada dalam kategori pertama.

Jelas Dr Dzulkefly, dalam menangani 2019 Novel Koronavirus, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah 12 lagi mesin pengimbas suhu badan di pintu masuk negara secepat mungkin.

Ini sebagai tambahan kepada 54 mesin pengimbas suhu badan sedia ada yang mana 33 mesin ditempatkan di Semenanjung dan 21 lagi di Sabah dan Sarawak, katanya.

Beliau berkata pada masa yang sama agensi pelancongan disaran memberikan pencerahan mengenai koronavirus kepada pengembara yang menggunakan khidmat mereka.

“Agensi pelancongan perlu menasihatkan pengembara untuk mendapatkan rawatan di fasiliti di bawah KKM yang berdekatan apabila mendapati pelanggan mereka menunjukkan simptom demam, batuk dan sukar untuk bernafas,” kata Dr Dzulkefly.

-BERNAMA


Pengarang :