AGENDANASIONAL

Op Selamat 16 catat 138 kematian setakat ini

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Polis merekodkan 138 kematian daripada 127 kes kemalangan maut sehingga Ahad, iaitu hari kesembilan sejak Op Selamat 16/2020 dilancarkan 18 Januari lalu sempena Tahun Baru Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata jumlah kematian tertinggi masih membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan 94 kematian direkodkan.

Katanya, Selangor merekodkan kes kematian paling tinggi iaitu 24, diikuti Johor (16), Sarawak (16) manakala Kedah (13).

“Dalam tempoh berkenaan, 14,087 kes nahas jalan raya direkodkan dengan Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 4,089 kes diikuti Johor (2,194), Kuala Lumpur (1,616) dan Pulau Pinang (1,147),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebanyak 233,454 saman turut dikeluarkan dengan 146,008 saman merangkumi enam kesalahan utama antaranya menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu melebihi had laju, menggunakan lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garis berkembar.

Op Selamat 16/2020 yang dilancarkan pada 18 Januari akan berterusan sehingga 1 Februari ini.

-BERNAMA


Pengarang :