Penumpang pesawat penerbangan memakai topeng penutup mulut dan hidung pada tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pakar: Guna penutup mulut, hidung tiga lapis cegah jangkitan

SHAH ALAM, 30 JAN: Penutup mulut dan hidung tiga lapis paling sesuai digunakan berbanding satu lapis atau N95, kata pakar perunding penyakit berjangkit di Hospital Sungai Buloh.

Dr Benedick Sim bagaimanapun berkata penutup itu perlu ditukar dalam tempoh beberapa jam kerana ia biasanya menjadi lembab, lapor Berita Harian.

“Penutup mulut dan hidung yang sesuai adalah jenis tiga lapis. Penggunaan topeng muka N95 menyebabkan rasa tidak selesa dan kesukaran bernafas kepada pengguna,” katanya pada sesi taklimat isu jangkitan koronavirus di Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau berpendapat situasi semasa penularan koronavirus pada masa ini tidak menjadi tuntutan kepada orang awam untuk memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam.

“Namun, jika orang awam mahu memakai juga, ini adalah langkah yang baik sebagai usaha pencegahan. Pada asasnya, tiada keperluan mendesak untuk memakainya,” katanya.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga lagi kes terbaharu koronavirus 2019 membabitkan rakyat China di negara ini, menjadikan tujuh kes direkod setakat ini.


Pengarang :