SELANGOR

Pelajar meninggal dunia selepas merentas desa

SABAK BERNAM 14 JAN: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun meninggal dunia selepas menjalani latihan merentas desa sejauh 3.8 kilometer petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pelajar Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) Sungai Besar itu dilaporkan pengsan dalam kawasan sekolah berkenaan kira-kira jam 4.15 petang, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Besar tetapi disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan.

“Hasil pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sebelum ini tular di aplikasi WhatsApp berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Empat SAMTAJ Sungai Besar meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sungai Besar selepas menjalani latihan merentas desa.


Pengarang :