BERITA UTAMAPENDIDIKAN

RM100 juta naik taraf sekolah tahfiz, pondok dan SAR

PUTRAJAYA, 15 JAN: Kementerian Kewangan menyerahkan peruntukan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyerahkan replika cek berkenaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Daripada jumlah RM100 juta itu, Lim berkata sekolah tahfiz menerima RM50 juta sementara sekolah agama rakyat dan persendirian serta sekolah pondok berdaftar masing-masing menerima RM25 juta.

“Peruntukan tersebut merupakan peningkatan RM50 juta berbanding peruntukan kerajaan terdahulu dalam Bajet 2018 yang tidak menyediakan peruntukan bagi sekolah agama rakyat dan sekolah pondok,” katanya.

Penyerahan peruntukan itu susulan pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019.

Lim berkata peruntukan RM100 juta itu merupakan sebahagian daripada RM735 juta untuk penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2020 yang merupakan peningkatan ketara berbanding dengan jumlah RM652 juta bagi 2019.

Sementara itu, Mujahid berkata pada masa ini terdapat 205 institusi pondok, 1,026 sekolah tahfiz dan 1,880 sekolah agama negeri, rakyat, swasta dan persekutuan dalam data pihaknya.

Mujahid berkata pihaknya melihat permohonan semua institusi mulai bulan depan dan pelaksanaan pemberian peruntukan dijangka seawal Mac dan April, dengan tempoh pengagihan dijangka sehingga Oktober.

-BERNAMA


Pengarang :