AGENSISELANGOR

YAWAS lancar i-Asuh 18 Januari, sasar 1,000 pengasuh didaftar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JAN: Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bakal melancarkan program i-Asuh pada 18 Januari ini di Dewan Orang Ramai, Kampung Jenjarom.

Pengurus Besarnya, Gan Pei Nei berkata program itu bertujuan membantu ibu bapa mencari pengasuh yang sesuai dan terlatih bagi menjaga anak mereka.

Beliau berkata pihaknya mengalu-alukan pengasuh seluruh Selangor untuk mendaftarkan diri mereka menerusi portal YAWAS selepas pelancarannya nanti.

“Buat permulaan, kita menyasarkan kira-kira 1,000 pengasuh didaftarkan dalam program i-Asuh dan mereka akan diberikan kursus berkaitan pendidikan kanak-kanak secara percuma bawah seliaan YAWAS serta Kerajaan Negeri.

“Penting program ini dilancarkan kerana daripada situ ibu bapa boleh merujuk, menyemak dan menghantar anak mereka kepada pengasuh yang berdaftar dengan program i-Asuh,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, i-Asuh adalah program Kerajaan Negeri yang akan bekerjasama bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor selaku agensi pemantau.

“Melalui kerjasama ini kita akan mengumpulkan maklumat berkaitan pengasuh dan rekodkan data mereka supaya ia dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa berkerjaya.

“Malah, menerusi i-Asuh, kita turut membuat pemeriksaan saringan kepada setiap pengasuh bagi mengenal pasti tahap tekanan seseorang individu melalui beberapa kategori,” katanya.

 


Pengarang :