Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dominasi Israel ke atas Palestin seperti dasar aparteid – Tun M

PETALING JAYA, 8 FEB: Dalam nada kritikan pedas terhadap `Perjanjian abab ini’ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia hanya meneruskan dominasi pendudukan seperti dasar aparteid ke atas rakyat Palestin.

“Malaysia mendapati cadangan itu tidak dapat diterima dan amat tidak adil,” kata Dr Mahathir ketika menyatakan cadangan pelan damai itu tidak mendekatkan usaha melahirkan sebuah negara Palestin yang berdaulat.

Memburukkan lagi keadaan katanya, ia menyerahkan bandar suci Jerusalem dengan mudah kepada pihak Israel, tanpa mempedulikan perasaan jutaan umat Islam dan Kristian di seluruh dunia.

“Perkara ini hanya akan membawa lebih banyak konflik di rantau ini, dan kemarahan berbilion masyarakat di seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan Persidangan Ketiga Liga Parlimen Al-Quds di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, ia satu tawaran berat sebelah yang dipelopori oleh Amerika Syarikat dan Israel tanpa konsultasi dengan Palestin dan menolak usaha untuk membawa keamanan ke Palestin

“Pelan keamanan ini hanya mengiktiraf kuasa besar yang melakukan pendudukan dan pada masa sama mengetepikan hak mereka yang ditindas,” kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata, rayuan rakyat Palestin menjadi tumpuan isu kepada ramai komuniti antarabangsa tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

“Dengan mengambil berat isu itu sebagai tanggungjawab kita masyarakat dunia dengan memastikam isu itu tidak diremehkan, digugurkan atau dsembunyikan di bawah permaidani,” katanya.

Merujuk kepada beberapa resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu yang diluluskan dan berpihak kepada rakyat Palestin, Dr Mahathir berkata, “Apa gunanya jika satu demi satu resolusi diterima pakai tetapi mereka boleh diabaikan dengan bebas tanpa sebarang hukuman. Lebih teruk, apabila apa yang sebalik daripada resolusi itu yang dilaksanakan”.

Katanya, kepada kongregasi ahli parlimen dunia, kesemua platform yang ada seharusnya digunakan oleh mereka yang berkongsi pemikiran, untuk terus menyuarakan kebimbangan dan menyatakan kemarahan mereka terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan dan kejam yang dilakukan rejim Tel Aviv terhadap rakyat Palestin.

“Kita wajib dan bertanggungjawab, ini akan menjadi lebih kuat apabila negara-negara besar yang menyatakan diri mereka sebagai pembela keadilan dan kebebasan, memilih untuk mendiamkan diri sedangkan kekejaman sedang berlaku.

“Dalam erti kata lain, jika kita memilih untuk senyap, daripada pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel juga ada pada tangan kita,” kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia akan sentiasa menyokong Palestin dan polisi luar terhadap negara itu, tidak pernah berubah sejak kemerdekaan Malaysia.

“Ketika Malaysia mahu bersahabat dengan semua negara dan menghormati kedaulatan masing-masing tanpa mengira kepercayaan ideologi, kita mesti terus menyuarakan dan menentang ketidakadilan dan mempertahankan hak mereka yang tertindas,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :