Calon HARAPAN Pang Sock Tao (baju putih) bertemu penyokong pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Calon Kerajaan Perpaduan tidak kekok jumpa pengundi beza usia

HULU SELANGOR, 27 APRIL: Calon Kerajaan Perpaduan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) bertemu pengundi sekitar Bandar Utama Batang Kali di sini hari ini.

Pang Sock Tao, 31, kelihatan tidak kekok bertemu pengundi pelbagai bangsa tanpa mengira usia pada hari pertama kempen.

Diiringi Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin dan Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, beliau beramah mesra dan memperkenalkan diri kepada pengundi sebagai calon nombor dua.

Sementara itu, pengundi, Lim Cho Kee, 75, berkata beliau teruja dapat bertemu dengan calon Pakatan Harapan itu dan berharap dapat meneruskan rekod cemerlang mendiang Lee Kee Hiong.

“Saya gembira dapat berjumpa calon… rasa tidak mahu basuh tangan tiga hari,” selorohnya kepada Sock Tao.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tengah) pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN KKB diadakan susulan kematian Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Pengarang :