Perdana Menteri Sementara Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan perutusan khas di Bangunan Perdana Putra yang disiarkan menerusi semua rangkaian televisyen, radio dan media sosial RTM pada 4.45 petang 26 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dr Mahathir tawar diri calon PM dengan sokongan Pakatan

KUALA LUMPUR, 29 FEB: Semasa kekalutan politik negara memasuki hari ke tujuh, hari ini menyaksikan satu lagi episod baharu terungkai, dengan Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau telah berjumpa dengan para pemimpin Pakatan Harapan (Pakatan) pagi ini, dan percaya beliau telah memperoleh sokongan yang diperlukan di Dewan Raykat untuk membentuk satu kerajaan baharu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pagi ini, Dr Mahathir berkata beliau sedia untuk dilantik sebagai calon bagi jawatan Perdana Menteri ke lapan.

Satu kenyataan dari Majlis Presiden Pakatan yang menyusul kemudiannya mengatakan bahawa Majlis Presiden memberikan sokongan penuh kepada Dr Mahathir sebagai calon untuk jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir berkata keputusan itu akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis Presiden Pakatan dalam menyatakan sokongan penuh kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri berkata Pakatan berpendirian bertegas menentang sebarang usaha ‘kerajaan pintu belakang’ terutama melibatkan kleptokrat dan pengkhianat perjuangan.

Menurutnya ia hanya akan merosakkan segala usaha reformasi yang telah dilaksanakan hingga kini.

“Pakatan berpegang teguh kepada prinsip dan akan terus memperjuang manifesto dalam kerajaan, yang mana Pakatan merupakan gabungan yang telah mendapat mandat jelas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” menurutnya.

Dr Mahathir dalam kenyataan hari ini turut menjelaskan mengenai laporan semalam yang menyimpulkan beliau menyokong pencalonan Presiden Pakatan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan perdana menteri.

Beliau turut mengulangi pendiriannya yang menentang sebarang kerjasama dengan individu yang telah diketahui terlibat dengan rasuah dan sebahagian daripada pentadbiran kleptokrat; yang sememangnya ditentang habis-habisan oleh kerajaan Pakatan.

“Atas dasar prinsip, saya sampaikan perkara ini kepada Ahli Parlimen Bersatu semasa mesyuarat semalam.

“Malah saya tinggalkan mesyuarat lebih awal untuk membolehkan perbahasan bebas antara ahli parlimen dari Bersatu bagi memilih siapa sahaja yang mereka rasakan sesuai untuk jawatan perdana menteri,” katanya dan menambah bahawa beliau tidak pernah menanda tangani apa-apa deklarasi statutori bagi menyokong mana-mana individu.

– BERNAMA


Pengarang :