AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPDNHEP kompaun peniaga jual topeng muka mahal

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 19 kesalahan selepas menjalankan pemantauan ke atas 2,453 premis perniagaan berhubung penjualan topeng muka setakat ini, kata menterinya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan memaklumkan 16 kes membabitkan jualan melebihi harga maksimum manakala tiga kes tidak mempamerkan tanda harga.

Beliau menegaskan topeng muka (pembedahan/perubatan) merupakan barang harga terkawal di bawah Perintah Kawalan Harga (Barang-Barang Harga Terkawal) 2009 dan Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No.2) 2009.

“Ini bermaksud mana-mana penjual yang menjual topeng muka melebihi harga diwartakan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya yang memaklumkan turut mengenakan kompaun RM67,400 dan rampasan berjumlah RM4,343.50 ketika pemantauan.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan mempertingkatkan pemantauan di premis perniagaan yang menjual topeng muka sehingga koronavirus 2019 dapat dibendung bagi menangani sebarang jualan melebihi harga kawalan.

Saifuddin Nasution berkata bagi melindungi pengguna daripada pencatutan berikutan peningkatan permintaan, pegawai penguat kuasa KPDNHEP aktif melakukan pemeriksaan setiap hari di premis perniagaan yang menjual topeng muka seluruh negara mulai 25 Januari lalu.

Harga maksimum topeng muka adalah seperti berikut:-

-Topeng muka 1 ply (ear loop) 100 keping x 1 kotak (RM7 sekotak)
-Topeng muka 2 ply (ear loop) 100 keping x 1 kotak (RM10 sekotak, RM0.20 seunit)
-Topeng muka 3 ply (ear & head loop) 50 keping x 1 kotak (RM0.80 seunit)
-Topeng muka 3 ply (tie-on) 50 keping x 1 kotak (RM0.80 seunit)
-N95 20 keping x 1 kotak (RM6 seunit)

Saifuddin Nasution berharap dengan penegasan kementeriannya itu, peniaga akan terus mematuhi undang-undang berkaitan.

Beliau turut menyeru pengguna untuk peka serta mengadu kepada KPDNHEP melalui mana-mana sembilan saluran aduan kementerian itu termasuk aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 sekiranya terjumpa sebarang insiden penjualan topeng muka melebihi harga kawalan oleh peniaga.

Katanya, sebarang hasil pemeriksaan dan tindakan yang diambil oleh KPDNHEP berkenaan isu topeng muka akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

-BERNAMA


Pengarang :