Selangorkini
Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika ditanya wartawan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KPN: Jaga tutur kata ketika ‘debat’ situasi politik negara

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Orang ramai diingatkan supaya menjaga tutur kata ketika menyampaikan pandangan dan pendapat di laman sosial berhubung situasi politik negara pada masa ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata semua pihak perlu menjaga perlakuan dan bijak melontarkan pendapat supaya tidak melanggar undang-undang, sekali gus menjejaskan keselamatan dan keamanan negara.

“Saya dapati perdebatan (situasi politik negara) di dalam media sosial begitu hangat sekali. Saya juga mendapati suhu perdebatan ini semakin meningkat.

“Oleh itu, sekali lagi saya ingatkan kepada semua pihak supaya menjaga tindakan dan berhujah dengan penuh kewarasan agar orang ramai tidak gusar,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menghormati hak semua pihak untuk meluahkan pandangan dan menjalankan aktiviti politik selagi tidak mengancam keamanan dan ketenteraman negara.

“Di sini, saya memberi amaran terhadap usaha melibatkan elemen luar negara untuk masuk dan menghuru harakan keadaan.

“Cubaan dan perbuatan sebegini pasti akan ditangani sekeras-kerasnya kerana ia menepati ciri-ciri pengkhianatan terhadap negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan proses pembentukan kerajaan baharu masih berjalan dengan aktif mengikut Perlembagaan negara.

“Orang ramai perlu bersabar sedikit masa lagi… Insya-Allah PDRM sentiasa bersedia dan memberi jaminan proses ini (pembentukan kerajaan) tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :