Ketua Pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim (tiga, kanan) bertukar dokumen memorandum pesefahaman (MoU) bersama wakil Tahan Sport Mohd Fuad Rahim (empat, kiri) pada majlis menandatangani MoU antara Malakat Mall bersama Sportsrevo di Brainy Bunch pada 5 Februari 2020. Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn, Bhd Mohd Fadzil Hashim (dua, kanan). Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Malakat Mall pasaran ekonomi bumiputera baharu

SHAH ALAM, 6 FEB: Gedung beli-belah Malakat Mall yang bakal beroperasi di Cyberjaya Mac ini, menyasarkan untuk meraih pendapatan RM300 juta bagi tahun pertama operasinya.

Bagi merealisasikan sasaran itu, gedung milik Malakat Mall Sdn Bhd setinggi tiga tingkat dengan 48 lot runcit, semalam mementerai tiga lagi kerjasama strategik membabitkan lima syarikat bumiputera yang menawarkan pelbagai produk di premis tersebut.

Syarikat terbabit adalah gedung pakaian dan peralatan sukan Tahan Sports; Sportsrevo iaitu jenama sukan tempatan milik bekas kapten pasukan bola sepak Harimau Malaya Safiq Rahim; pengeluar produk penyokong sukan bola sepak Capo Apparel, salun dan pusat kecantikan Wanita Tun Teja serta pengeluar produk kecantikan tradisional Safah Herbs.

Berteraskan konsep gedung beli-belah serba lengkap, Malakat Mall turut dilengkapi pasar raya Raudhah Grocer yang merupakan penyewa utamanya, selain pusat makanan halal bagi kemudahan pengunjungnya.

Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn Bhd, Mohd Fadzil Hashim berkata pihaknya yakin gedung beli-belah itu akan dapat mewujudkan komponen pasaran dalam ekosistem ekonomi bumiputera baharu melalui promosi perniagaan golongan itu yang berkualiti tinggi.

“Selain menjadi antara langkah yang diambil bagi perubahan ekosistem ekonomi bumiputera, Malakat Mall juga dilihat sebagai pusat transformasi perniagaan yang mana ia akan menyediakan perkhidmatan jualan pukal dan berpusat untuk jenama usahawan tempatan dan seterusnya dapat mengurangkan kos operasi mereka,” katanya.

Mohd Fadzil berkata bahawa daripada perbelanjaan runcit RM100 bilion negara, hanya lapan peratus disalurkan kepada bumiputera manakala 60 peratus ke entiti asing.

“Matlamat Malakat Mall adalah untuk merebut sekurang-kurangnya 30 peratus perbelanjaan runcit negara dan menyalurkannya kepada perniagaan serta pengguna tempatan dan bumiputera,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :