Pihak terlibat menyemak premis dalam operasi bersepadu pemantauan dan penguatkuasaan tadika, taska dan pusat jagaan kanak-kanak di sekitar Shah Alam pada 24 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA pantau tadika, taska tidak berdaftar

SETIA ALAM, 24 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memantau 271 Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Taman Asukan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi tanpa permit, kata pegawai perancang bandarnya.

Hazlin Ibrahim berkata hanya 152 daripada keseluruhan 423 premis memperoleh kelulusan merancang perubahan material penggunaan bangunan di kawasan perumahan.

“Banyak aduan diterima yang mendakwa kebanyakan premis beroperasi terlebih dahulu sebelum mendapat kebenaran MBSA terutama pada Disember dan Januari setiap tahun.

“Pemilik digesa mematuhi syarat dengan mengemukakan permohonan kerana kita menitikberatkan faktor keselamatan terhadap kanak-kanak dihantar ibu bapa mereka,” katanya selepas Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penguatkuasaan Tadika dan Taska di Setia Alam di sini hari ini.

Pegawai perancang MBSA, Hazlin Ibrahim bercakap kepada media selepas operasi bersepadu pemantauan dan penguatkuasaan tadika, taska dan pusat jagaan kanak-kanak di sekitar Shah Alam pada 24 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam operasi bermula 10 pagi, lima premis diperiksa di Setia Impian dan Setia Permai dengan kekuatan anggota dari jabatan dalaman MBSA, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Hazlin berkata Setia Alam antara lokasi tumpuan pengusaha memandangkan ia kawasan perumahan baharu paling besar di Shah Alam dengan keluasan kira-kira 1,618.7 hektar.

“Justeru, pemilik premis diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan permohonan. Jika didapati ingkar, kita akan mengambil tindakan mahkamah mengikut Akta 172 (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976),” katanya.


Pengarang :