Selangorkini
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDKL berstatus perbandaran 1 Mac

SHAH ALAM, 24 FEB: Status Kuala Langat daripada majlis daerah kepada perbandaran akan berubah pada 1 Mac ini selepas Kerajaan Negeri menyerahkan surat warta, kata yang dipertuanya.

“Pemasyhuran secara rasmi akan dilakukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, namun tarikhnya masih belum mendapat perkenan Tuanku,” kata Mohamad Zain A Hamid ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Selaras penarafan status baharu, beliau berkata kerja menceriakan landskap di sekitar Kuala Langat yang menjadi laluan utama ke Port Dickson turut dilakukan.

“Pada masa sama, kerja pembaikan jalan raya dan penstrukturan semula kakitangan akan dilakukan bagi membolehkan gerak kerja perbandaran menjadi lebih baik,” katanya.

Pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berjaya menukar status kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat melalui surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 31 Oktober 2019.

Selain MDKL, Subang Jaya turut dinaik taraf menjadi Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Setakat ini Selangor mempunyai dua majlis bandaraya iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya serta enam majlis perbandaran (Subang Jaya, Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang dan Sepang).

Majlis daerah ialah Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.


Pengarang :