AGENDANASIONAL

Pelbagai usaha dirangka tangani ancaman siber

PUTRAJAYA, 11 FEB: Kerajaan giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani ancaman dan jenayah siber termasuk mengukuhkan prasarana keselamatan siber dan mengawal selia ekosistem komunikasi dan multimedia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) 2019-2023 diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai penggunaan peranti digital secara berhemah.

Dr Wan Azizah berkata Projek Rintis Pensijilan Profesional Modular Keselamatan Siber pula diperkenalkan bagi meningkatkan dan memperkukuhkan golongan berkemahiran dalam bidang keselamatan siber dan Industri 4.0.

“Dengan wujudnya projek ini, sedikit sebanyak ia dapat menaik taraf kompetensi pengamal keselamatan siber sedia ada, memupuk golongan profesional keselamatan siber berwibawa yang baharu serta meningkatkan daya saing dalam mempertahankan keselamatan siber negara,” katanya pada Hari Keselamatan Internet (SID) 2020 – Edisi Malaysia di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata kebergantungan kepada teknologi membawa kepada pelbagai cabaran baharu termasuk elemen keselamatan siber.

“Kini jenayah siber, keganasan siber dan peperangan siber yang berlaku di alam maya juga mempunyai impak yang besar di alam fizikal, yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan negara,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :