Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor bergambar bersama kakitangan awam negeri pada majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Majlis Daerah Kuala Langat 2019 di Dewan Seri Jugra, Banting, 28 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penjawat awam perlu nilai balik khidmat kepada rakyat

KUALA LANGAT, 28 FEB: Penjawat awam di negeri ini diminta menilai semula keberkesanan perkhidmatan diberikan kepada rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada Kerajaan Negeri, kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan) berkata, kelayakan akademik semata-mata tidak memadai untuk menjamin seseorang penjawat awam memberikan perkhidmatan cemerlang.

“Perubahan sikap, keupayaan melihat kesan perkhidmatan kepada rakyat dan kebolehan membuat kerja di luar kebiasaan merupakan faktor penting dalam menjamin pembangunan kerjaya seseorang.

“Ini selaras dengan cabaran peringkat global yang sentiasa berdepan situasi luar jangka,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Dewan Sri Jugra, Telok Datok di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid dan Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Al Haj Tengku Harun.

Zamani Ahmad turut mengingatkan kakitangan awam supaya terus memantapkan kefahaman berkaitan etika serta integriti dalam organisasi.

“Pada masa kini, kesedaran rakyat semakin meningkat supaya gejala bertentangan dengan prinsip etika dan integriti misalnya rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa dihapuskan kerana mereka (rakyat) akan menuntut (integriti) dalam semua urusan kerajaan,” katanya.


Pengarang :