AGENDAJENAYAH

Permohonan Najib tangguh prosiding saman LHDN ditolak

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangguhkan prosiding saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan bahawa agak pramatang untuk menangguhkan prosiding pada peringkat awal kerana belum ada penghakiman (oleh mahkamah).

“Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati defendan (Najib) tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menangguhkan prosiding.

“Defendan telah gagal untuk membuktikan kewujudan keadaan khusus atau istimewa yang dapat memuaskan hati mahkamah ini,” katanya.

Dalam penghakimannya, beliau berkata jumlah tuntutan yang besar tidak dianggap sebagai satu keadaan khusus atau istimewa.

“Sekiranya mahkamah membenarkan penangguhan prosiding, ia akan memberi impak yang besar kepada proses mendapatkan kembali cukai. Penangguhan itu sekiranya dibenarkan, akan menjejaskan asas keseluruhan undang-undang mendapatkan kembali cukai seperti yang termaktub dalam Seksyen 103 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Malah cukai boleh dibayar secara ansuran. Cukai hendaklah dibayar terlebih dahulu, sebarang wang boleh dikembalikan oleh Ketua Pengarah LHDN kemudian. Oleh itu, permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding ditolak dengan kos RM15,000,” kata hakim itu.

Ahmad Bache berkata mahkamah berpendapat kebimbangan defendan bahawa beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen hanyalah spekulasi semata-mata dan tanpa asas yang sah.

“Berkaitan isu risiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen berikutan potensi prosiding kebankrapan, mahkamah ini bersetuju dengan LHDN bahawa hujah itu adalah tidak lebih daripada sekadar satu kebimbangan,” katanya.

Beliau berkata bekas perdana menteri itu tidak menunjukkan bukti yang meyakinkan bagi membuktikan ketidakupayaan LHDN untuk memberi pampasan.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib manakala LHDN diwakili peguam kanan Norhisham Ahmad.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Najib memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN yang menuntut beliau membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN selesai.

Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya berkata Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau telah memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu.

Penolong Pengarah Unit Pemantauan LHDN Hisyamuddin Mohd Hassan, dalam afidavit sokongannya berkata menurut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, semua cukai yang ditaksir perlu dibayar pada hari notis taksiran diserahkan, sama ada orang itu mengemukakan rayuan atau sebaliknya berhubung taksiran cukai.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

– BERNAMA


Pengarang :