Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Satu lagi kes positif Covid-19, jumlah terkini 22 – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Satu lagi kes positif virus Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah terkini jangkitan di negara ini kepada 22 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaru itu membabitkan seorang wanita warga Amerika Syarikat berumur 83 tahun yang merupakan antara penumpang kapal persiaran yang telah berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lepas.

Beliau berkata semua penumpang dan anak kapal telah dibenarkan pulang ke negara masing-masing oleh kerajaan Kemboja setelah memaklumkan bahawa saringan kesihatan telah dijalankan ke atas mereka.

“Seramai 145 penumpang kapal persiaran tersebut telah mengambil penerbangan ke Malaysia pada 14 Februari dan daripada jumlah tersebut, beliau (kes ke-22) dan suaminya telah dikesan bergejala sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

“Ujian saringan pengesanan Covid-19 telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan disahkan positif. Pesakit dirawat di wad isolasi hospital berkenaan dan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Dr Noor Hisham berkata, ujian pengesanan Covid-19 turut dilakukan terhadap suaminya, berusia 85 tahun, seorang warga Amerika Syarikat, namun negatif dan kini masih menerima rawatan serta pemantauan di Hospital Sungai Buloh bagi gejala yang dialaminya.

– BERNAMA


Pengarang :