Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri 2020 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada 3 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sebenarnya.my, agensi berita rasmi diharap tangkis berita palsu koronavirus

PUTRAJAYA, 3 FEB: Peranan yang dimainkan portal ‘Sebenarnya.my’ serta agensi-agensi berita rasmi kerajaan diharap dapat mengekang penularan berita palsu berkaitan koronavirus 2019 yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kementeriannya bertanggungjawab dalam memastikan penerangan dan maklumat penting yang benar dan sahih sampai kepada semua lapisan masyarakat terutamanya hebahan mengenai jangkitan itu.

Menurut beliau setakat semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi portal ‘Sebenarnya.my’ telah menangkis dan menjelaskan hampir 30 berita palsu mengenai koronavirus 2019 yang disebarkan di internet.

“Kita tidak mahu berita tidak benar menular di media sosial dan ini merupakan usaha SKMM untuk memperbetulkan keadaan dan saya rasa ianya berjaya menunjukkan keberhasilan.

“Jadi sekiranya kita mahu melihat sesuatu perkara itu benar atau tidak, semua boleh merujuk kepada portal ‘Sebenarnya.my’,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Menteri 2020 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, katanya, agensi berita rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga mengambil langkah proaktif untuk memastikan bahawa masyarakat mendapat berita dan maklumat yang sahih, ditentusahkan dan terkini mengenai wabak itu.

“Selain daripada laporan berita, pelbagai bahan penyampaian maklumat juga telah digunakan seperti video, kapsul dan infografik kesedaran awam dan langkah-langkah pencegahan dalam pelbagai bahasa,” katanya.

Jelasnya usaha itu penting bagi memastikan rakyat memahami dengan lebih mendalam mengenai koronavirus 2019 dan juga langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa untuk mengawal dan mencegah penyebaran virus itu.

Selain itu, katanya, setakat 31 Januari, sebanyak 432 program ‘Info on Wheels’ (IOW) telah berjaya dilaksanakan di seluruh negara.

Program hebahan bersemuka itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapat pemahaman yang lebih baik daripada pasukan unit hebahan itu jika ada keraguan atau ketidakpastian mengenai koronavirus 2019.

– BERNAMA


Pengarang :