Wabak koronavirus 2019 punca cecair pembasmi kuman habis di pasaran di negara ini. Foto BERNAMa
PENDAPATRENCANA

Takut koronavirus, cecair pembasmi kuman kehabisan stok

OLEH SAKINI MOHD SAID dan MELATI MOHD ARIFF

KUALA LUMPUR, 3 FEB: “Maaf ya, hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) sudah habis. Kami dah order tapi belum dapat lagi. Di HQ (ibu pejabat) pun sudah habis, tak tahu bila dapat stok baru”.

Sudah beberapa farmasi saya pergi sebelum ini tetapi jawapannya seakan sama.

Tidak kisahlah sama ada yang berjenama, yang popular atau yang biasa-biasa, segala jenis jenama pembasmi kuman semuanya tidak ada stok. Kebanyakan kedai mengakui permintaan produk ini begitu mendadak pada masa ini selain daripada topeng muka.

Seorang jurujual sebuah pusat rangkaian farmasi terkenal di Lembah Klang yang memperkenalkan dirinya sebagai Dayah memberitahu penulis, cecair pembasmi kuman itu sudah mula kehabisan stok sejak Sabtu lepas (25 Januari) sebaik kes pertama koronavirus 2019 di Malaysia dilaporkan positif.

Koronavirus 2019 dikenal pasti mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan betapa mudah ia boleh disebarkan antara manusia. Foto BERNAMA

Tidak dinafikan, sejak wabak tersebut mula merebak ke lebih banyak negara termasuk di Malaysia, masyarakat di negara ini semakin bimbang sehingga ramai berpusu-pusu mencari topeng muka dan cecair pembasmi kuman sehingga kehabisan stok.

Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada penggunaan cecair pembasmi kuman ini boleh melindungi seseorang individu itu daripada jangkitan termasuk wabak koronavirus 2019.

Adakah hand sanitiser terbaik?

Menurut Dr Rosnida Mohd Noh, Pakar Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), masyarakat tidak perlu panik apabila cecair pembasmi kuman habis di pasaran.

Ini kerana cara terbaik melindungi daripada jangkitan wabak berkenaan atau apa-apa penyakit adalah melalui cara cucian tangan secara betul.

“Ada dua cara untuk membersihkan tangan dengan betul bagi mengelakkan jangkitan virus termasuk koronavirus. Iaitu membasuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air serta hand sanitiser dengan kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus.

“Tetapi, jika hand sanitiser sudah habis, jangan panik. Kita hanya perlu memastikan membasuh tangan dengan sabun dan air yang cukup, sekurang-kurangnya selama 20 saat dengan kerap untuk memastikan tiada jangkitan.

“Malah, membasuh tangan dengan sabun dan air secara betul adalah cara terbaik untuk membersihkan tangan terutama jika ada kotoran jelas di tangan. Ia lebih mudah dan sesuai untuk aktiviti harian,” katanya kepada Bernama.

Menjelaskan lanjut, Dr Rosnida berkata kepentingan membasuh tangan menggunakan sabun dengan air juga lebih baik jika kandungan alkohol di dalam pembasmi kuman tidak mencapai tahap yang diperlukan untuk membunuh virus.

Katanya, pembasmi kuman yang mempunyai kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus ke atas adalah lebih berkesan berbanding pembasmi kuman yang mengandungi kurang alkohol atau langsung tidak mempunyai alkohol.

Penting penjagaan kebersihan

Berkaitan dengan penggunaan tisu basah pula, Dr Rosnida berkata kaedah tersebut tidak dicadangkan langsung oleh mana-mana pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pengamal kesihatan untuk membersihkan tangan bagi mengelak jangkitan pelbagai virus termasuklah koronavirus 2019.

Sehingga 31 Januari lalu, jangkitan koronavirus yang mula dikesan pada Disember 2019 di Wuhan, China sudah mencecah 9,356 kes dan 213 kematian, demikian menurut agensi berita Rusia, Sputnik yang memetik laporan media China.

Menurut laporan akhbar South China Morning Post pula, dalam tempoh 24 jam lalu (31 Januari), lebih 1,200 kes baharu direkodkan di 17 bandar raya China.

Sementara itu, menurut WHO, wabak berkenaan mencatatkan 98 kes di 18 buah negara di luar China, termasuk lapan kes jangkitan daripada manusia ke manusia di empat negara iaitu Jerman, Jepun, Vietnam dan Amerika Syarikat.

Manakala di Malaysia, jumlah kes yang disahkan positif koronavirus sehingga 31 Januari adalah lapan orang, yang semuanya melibatkan warganegara China.

Dengan perkembangan tersebut, WHO akhirnya mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap wabak berkenaan.

Koronavirus telah meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengutamakan penjagaan kebersihan diri dan persekitaran.

Diharapkan amalan ini berterusan dan menjadi budaya bukan sekadar ‘bermusim’ bila ada penyakit atau wabak melanda.

– BERNAMA


Pengarang :