AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia susut 33.84 mata, minyak dunia jatuh mendadak

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan tekanan jualan selepas penanda aras global minyak mentah Brent jatuh menjunam sebanyak 20.63 peratus kepada US$35.93 setong susulan kegagalan perjanjian bekalan minyak antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Russia.

Saham berkaitan Petronas, PetChem dan PetGas jatuh 61 sen dan 44 sen setiap satu masing-masing kepada RM5.04 dan RM15.70.

Pada jam 9.02 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 33.84 mata atau 2.28 peratus kepada 1,449.26 daripada paras penutup 1,483.10 pada Jumaat minggu lepas.

Pada paras pembukaan, FBM KLCI dibuka rendah turun 23.29 mata kepada 1,459.81.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 427 berbanding 41, dengan 105 kaunter tidak berubah, 1,425 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 389.50 juta saham bernilai RM82.94 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini berkata pasaran mendapati sukar untuk mengekalkan pemulihan kerana kenaikan sering terjejas oleh jualan berterusan di seluruh dunia, trend yang berlaku sejak penularan COVID-19.

“Memburukkan lagi keadaan kegagalan OPEC dan sekutunya untuk mencapai persetujuan mengehadkan pengeluaran, membayangkan satu gelombang baharu bekalan mungkin membanjiri pasaran pada April – membawa kepada penurunan harga minyak mentah,” kata firma penyelidikan itu.

Malacca Securities percaya kelemahan indeks utama akan berterusan dan pasaran akan kekal lemah dengan asas sekitar paras 1,495- 1,510 dalam persekitaran semasa.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 258.84 mata kepada 10,186.13, Indeks FBM Emas turun 321.48 mata kepada 10,798.87 dan FBM 70 berkurangan 408.30 mata kepada 12,309.28.

Indeks FBMT 100 turun 256.36 mata kepada 10,017.87 manakala FBM Ace susut 100.75 mata kepada 5,144.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 5.95 mata kepada 129.28, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 205.39 mata kepada 14,131.16 dan Indeks Perladangan berkurangan 109.99 mata kepada 6,623.05.

-BERNAMA


Pengarang :