Seorang penumpang melihat papan informasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020, yang menunjukkan pembatalan penerbangan susulan sekatan perjalanan oleh kerajaan Malaysia berikutan penularan Covid-19. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Covid-19: Hampir 3,000 rakyat Malaysia terkandas di luar negara

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Seramai 2,982 warganegara Malaysia masih terkandas di 55 negara akibat pembatalan penerbangan serta sekatan perjalanan yang dilaksanakan negara tersebut susulan penularan Covid-19.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata setakat ini kementeriannya membawa pulang 2,417 rakyat Malaysia dari 26 negara ke tanah air.

“Ini termasuk dua penerbangan yang tiba hari ini iaitu satu dari Bangladesh dan satu dari Itali yang membawa pulang sejumlah 306 warganegara,” katanya menerusi video yang disiarkan di laman Facebook Wisma Putra, hari ini.

Kamarudin berkata kejayaan membawa pulang rakyat hasil kerjasama perwakilan Malaysia di luar negara dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Kesihatan dan syarikat penerbangan MAS dan AirAsia.

Beliau turut menegaskan tiada diskriminasi atau pilih kasih dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha memastikan tiada rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara diabaikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan mereka dan kementerian akan terus komited menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Beliau menjelaskan rakyat Malaysia yang terkandas adalah mereka yang kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti atau apa-apa sebab seperti itu.

Kamarudin berkata, mereka mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan sekatan perjalanan yang dikuat kuasa negara tuan rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA


Pengarang :