BERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Jais tubuh pasukan bersihkan masjid, surau

SHAH ALAM, 18 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan jawatankuasa khas membasmi virus Covid-19 di semua rumah ibadah Islam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jawatankuasa itu ditugaskan untuk menangani wabak berkenaan di seluruh masjid, surau, musollah dan juga pejabat.

“Inisiatif ini sebagai melaksana titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar laksanakan operasi nyahkuman dalam tempoh 10 hari pertama sebelum 17 April ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook dengan #SelangorGempurCovid19.

Baru-baru ini, Sultan Sharafuddin bertitah semua kegiatan di masjid, surau dan musollah termasuk solat jemaah dan Jumaat di seluruh negeri ditangguhkan sebulan sehingga 17 April susulan wabak itu.

Bagaimanapun, solat Jumaat wajib digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing. Namun jika wabak itu dapat dibendung dalam tempoh lebih awal, maka satu arahan baharu akan dikeluarkan.


Pengarang :