AGENDAPENDIDIKAN

KPT saran 27 April, 1 Jun mula semester kedua di universiti awam

SHAH ALAM, 28 MAC: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyarankan semua universiti awam (UA) menyambung semester kedua untuk sesi 2019/2020 seawal 27 April atau selewat-lewatnya 1 Jun depan.

KPT dalam satu kenyataan media berkata dengan perlanjutan itu semester pertama untuk sesi 2020/2021 dijangka bermula pertengahan Oktober.

Katanya keputusan itu diambil selepas perbincangan UA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan pelbagai faktor iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta arahan berkaitan Covid-19 dan keberadaan pelajar majoritinya berada di kampung atau bersama keluarga.

“Ia juga bagi keselamatan dan kebajikan pelajar, kesediaan UA serta IPTS melaksanakan pengajaran menggunakan pelbagai kaedah termasuk atas talian, cuti sambutan Aidilfitri dijangka 24 Mei dan keperluan penamatan semester kedua sesi 2019/2020 serta permulaan semester pertama sesi 2020/2021.

“Sehubungan itu, UA perlu menguruskan pergerakan ke kampus (disarankan secara berfasa dan berhemah) dengan mengambil kira faktor di atas,” katanya di sini, hari ini.

KPT berkata bagi IPTS pula mereka boleh menyambung semester sedia ada dan memulakan semester baharu mengikut kalender akademik dengan mengambil kira faktor sama.

“UA dan IPTS juga perlu memaklumkan jadual akademik dikemaskini kepada semua pelajar tempatan dan antarabangsa

“Bagaimanapun cadangan ini dikemukakan berdasarkan keputusan kerajaan berhubung PKP, KPT akan memaklumkan segera sebarang pindaan sekiranya ada perubahan berhubung status PKP pada masa depan,” katanya.


Pengarang :