Selangorkini
AGENDA EKONOMI

Ringgit tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Ringgit tinggi berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan hari ini, didorong sentimen lebih baik secara keseluruhannya dalam pasaran risiko global, kata penganalisis.

Pada 9.04 pagi, unit tempatan berada pada 4.3000/3100 berbanding dolar AS daripada 4.3300/3400 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata tekanan pendanaan dolar AS sama sekali menjadi satu manfaat bagi ringgit.

“Kejatuhan harga minyak mentah menyebabkan Malaysia mencatatkan hasil minyak yang lebih rendah dalam dolar AS, namun dolar AS bagi hasil minyak itu lazimnya dianggap penstabil untuk ringgit,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0005/0085 daripada 3.0069/0149 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2348/2500 daripada 5.1601/1737.

Unit tempatan susut berbanding yen kepada 3.9457/9559 daripada 3.9342/9444 pada Khamis dan lemah berbanding euro kepada 4.7451/7569 daripada 4.7396/7510.

– BERNAMA


Pengarang :