AGENSISELANGOR

Staf MBI boleh tuntut kos beli cecair basmi kuman, topeng muka

SHAH ALAM, 23 MAC: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor membenarkan kakitangannya membuat tuntutan bagi pembelian cecair pembasmi kuman dan topeng muka perubatan sebagai inisiatif mengawal penularan wabak Covid-19.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Soffan Affendi Aminuddin berkata pihaknya prihatin dan proaktif terhadap keperluan warga kerja yang perlu membeli dua barang berkenaan ketika berdepan dengan situasi terkini wabak.

Katanya, pembelian itu boleh dituntut melalui Skim Bantuan Perubatan Pesakit Luar dengan garis panduan ditetapkan iaitu pembelian mesti dilakukan sebelum 30 April 2020.


Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Soffan Affendi Aminuddin

“Had belian cecair pembasmi kuman adalah 500 milimeter (ml) manakala topeng muka pula perlu bersesuaian dengan nilai pembelian maksimum keseluruhan RM200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soffan berkata, setiap tuntutan harus disertakan resit dengan pembelian dibuat di farmasi, klinik atau pasar raya selain kakitangan masih mempunyai baki Skim Bantuan Perubatan Pesakit Luar pada masa tuntutan dibuat.

“Inisiatif tambahan ini diharapkan dapat membantu warga kerja dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“Semua warga kerja juga diharap dapat meneruskan langkah keselamatan yang telah diambil dan sentiasa patuh Perintah Kawalan Pergerakan seperti diumumkan Perdana Menteri Malaysia (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.


Pengarang :