AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Empat loji rawatan air kembali operasi selepas beberapa jam

SHAH ALAM, 17 APRIL: Empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas akibat pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor, beroperasi semula antara jam 4.40 hingga 6.30 pagi hari ini.

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerusi kenyataan berkata ia hasil tindakan pantas pihaknya mengaktifkan pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya sebanyak 807 juta liter sehari (JLH), untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

“Pada masa sama, pembukaan sementara pintu 5 Baraj Bestari Jaya dilakukan bagi mempercepatkan aliran ke hilir Sungai Selangor dan berjaya membantu meningkatkan pencairan dan pengoperasian loji pembersihan dengan segera,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan siasatan secara menyeluruh di lokasi pencemaran diteruskan bagi melaksanakan langkah kawalan serta mitigasi, seterusnya mengelak kejadian sama berulang.

“Pihak Luas bersama agensi Kerajaan Negeri sentiasa bersiap sedia dalam memastikan sumber air di Selangor terpelihara,” katanya.

Pagi tadi, Air Selangor memaklumkan LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas lewat malam tadi, berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam reaksinya berhubung perkara itu menegaskan kolam ternakan ikan yang menjadi punca pencemaran diserbu oleh Majlis Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Pengurusan Air Selangor dan Luas.


Pengarang :